Tuesday, 9 August 2011

Kepalsuan Hadis Kelebihan Tarawih

Kepalsuan Hadis Kelebihan Tarawih

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang

Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad saw serta para sahabatnya.


Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawih pada malam-malam Ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik, media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.


Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a yang sebahagian darinya adalah seperti berikut:


Di riwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah saw telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:


• Malam Pertama: Keluar dosa-dosa mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).


• Malam Keempat: mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.


• Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma’mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawikh pada malam ini.


• Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.


• Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih seperti mana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.


• Malam Kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad saw.


• Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke tiga puluh….

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan.


Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu’aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu’(palsu) pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.


Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya di dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya.


Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.


Rasulullah saw telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya:-


"Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka"

(Bukhari, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai ke peringkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan ke atas Nabi s.a.w. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).



Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu’ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad saw menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam Syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu’) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu’ atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu’.

Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu’ tetapi dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain.


Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam…. seterusnya di berkata: Ulamak-ulamak telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga.

Firman Allah bermaksud:


"Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan."

(An-Najm: 3-4)

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad saw seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi:


"Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa’bah………."



Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis sahih contohnya hadis yang bermaksud:


"Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu."

(Al-Bukhari )



Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud:

"Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang.."

(Al-Muddassir )



Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini.


Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.


Di antara ciri-ciri hadis maudhu’ (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah:

1- Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad saw atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukkan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.


2- Kelebihan yang terdapat di dalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan di mana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Quran dan hadis-hadis sahih.


3 - Kandungan serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.

4- Di dalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan “Ya Ali” sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya adalah palsu.


Oleh itu umat Islam sekalian sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah-dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah s.a.w. sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w.

Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.


(Dipetik dari Siri Risalah Suluhan terbitan Darul Quran Was-Sunnah dengan sedikit pindaan)

Sunday, 31 July 2011

Perbahasan Berkenaan Rakaat Tarawih

Perbahasan Berkenaan Rakaat Tarawih
Oleh: Ust. Ahmad Nasim bin Abdul Rauf


Bulan Ramadhan adalah merupakan bulan yang amat mulia di sisi umat Islam. Di antara sebab kemulian tersebut adalah terdapat amalan-amalan khusus padanya yang tidak terdapat di bulan-bulan yang lain seperti amalan berpuasa yang diwajibkan kepada setiap mukallaf di siang hari serta disunatkan sembahyang tarawih pada malamnya. Berkenaan sembahyang tarawih ada perkara yang disepakati oleh ulama` dan ada perkara yang diperselisihkan. Di antara perkara yang diperselisihkan padanya adalah berkenaan dengan bilangan rakaat.

Artikel ini bukanlah bermaksud untuk menimbulkan keresahan kepada mana-mana pihak dan bukan juga untuk menimbulkan persengketaan antara sesama umat tetapi sekadar ingin membuktikan bahawa golongan yang berpegang kepada rakaat tarawih adalah dua puluh rakaat juga mempunyai asasnya berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih daripada pengamalan generasi awal Islam.

Riwayat-riwayat dan pendapat-pendapat ulama` yang terdapat di dalam kitab-kitab hadith dan feqah menunjukkan perselisihan rakaat tarawih ini adalah bermula daripada lapan rakaat sehingga lebih dari empat puluh rakaat. Namun begitu kebanyakan perbezaan pendapat adalah bermula dari dua puluh rakaat dan seterusnya. Sementara tarawih sebanyak lapan rakaat tidak banyak dibincangkan oleh ulama` terutamanya ulama` feqah tetapi terdapat di dalam beberapa riwayat daripada sahabat.[i] Di antara riwayat-riwayat tersebut ada yang dho’if, hasan dan sahih. Artikel ini akan membincangkan perselisihan pendapat antara lapan rakaat dan dua puluh rakaat. Perbezaan pendapat ini bukanlah perbezaan benar atau batil tapi hanyalah perbezaan manakah pendapat yang lebih kuat berdasarkan hadith dan pengamalan generasi-generasi awal Islam.


Di antara hadith yang menunjukkan bahawa sembahyang tarawih dilakukan sebanyak lapan rakaat di zaman Nabi s.a.w. adalah seperti berikut:

Pertama: Riwayat yang dikemukakan oleh at-Thabrani, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah daripada Jabir bin Abdillah.

  عن عيسى ابن جارية ، عن جابر بن عبد الله رضي الله عنه قال : صلى بنا رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم في شهر رمضان ثمان ركعات وأوتر فلما كانت القابلة اجتمعنا في المسجد ورجونا أن يخرج إلينا ، فلم نزل فيه حتى أصبحنا ، ثم دخلنا ، فقلنا : يا رسول الله ، اجتمعنا في المسجد ورجونا أن تصلي بنا ، فقال : « إني خشيت أو كرهت أن تكتب عليكم

Daripada ‘Isa bin Jariah daripada Jabir bin Abdullah katanya: “Rasulullah s.a.w. mengimamkan kami pada bulan Ramadhan sebanyak lapan rakaat dan berwitir. Bila tiba malam berikutnya kami berhimpun di masjid dan berharap Nabi s.a.w. akan keluar kepada kami, kami terus menunggu sehingga pagi kemudian kami masuk menemuinya lalu berkata: “Wahai Rasulullah s.a.w.! Kami berhimpun di masjid dan berharap engkau akan keluar kepada kami. Baginda s.a.w. menjawab: “Sesungguhnya aku bimbang ianya akan difardhukan ke atas kamu”.[ii]

Kedua: Hadith berkenaan Ubay bin Ka’ab menjadi imam di dalam sembahyang tarawih.

حدثنا عيسى بن جارية ، قال : حدثنا جابر بن عبد الله ، قال : جاء أبي بن كعب إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال : يا رسول الله ، كان مني الليلة شيء في رمضان ، قال : « وما ذاك يا أبي ؟ » قال : نسوة في داري قلن : إنا لا نقرأ القرآن ، فنصلي بصلاتك ، قال : فصليت بهن ثماني ركعات ، ثم أوترت ، قال : فكان شبه الرضا ، ولم يقل شيئا

‘Isa bin Jariah menceritakan kepada kami katanya: Jabir bin Abdillah menceritakan kepada kami katanya: “Ubay bin Ka’ab r.a. telah datang kepada Nabi s.a.w. lalu berkata: “Ya Rasulullah! Sesuatu telah berlaku kepada saya pada waktu malam di bulan Ramadhan. Nabi s.a.w. bertanya: “Apakah ia wahai Ubay?” Dia menjawab: “Perempuan-perempuan di rumahku berkata: “Kami tidak tahu membaca al-Quran maka kami hendak mengikuti sembahyang engkau”. Ubay berkata: “Lalu aku mengimamkan mereka sebanyak lapan rakaat kemudian aku berwitir”. Dia (Jabir) berkata: “Kelihatan pada Nabi s.a.w. semacam keredhaan dan Baginda tidak berkata apa-apa.”[iii]


Riwayat-riwayat di atas tidak dijadikan sandaran utama oleh ulama` yang berpegang kepada sembahyang tarawih adalah lapan rakaat. Ini adalah kerana walaupun banyaknya riwayat dan diriwayatkan oleh beberapa ulama` hadith tetapi ianya berpunca daripada seorang perawi yang dho’if iaitu ‘Isa bin Jariah. Kita lihat apakah kata ulama` jarh wat ta’dil berkenaan beliau.


Ibnu Abi Khaithamah berkata, daripada Ibnu Ma’ien katanya, ‘Isa bin Jariah tidak kuat, aku tidak mengetahui seorangpun yang meriwayatkan daripadanya selain Ya’qub al-Qummi. Ad-Dauri berkata, daripada Ibnu Ma’ien katanya: “Dia (‘Isa bin Jariah) banyak meriwayatkan hadith-hadith munkar. Abu Zur’ah berkata: “Tidak mengapa dengannya”. Al-Aajuri menyebutkan daripada Abu Daud katanya: “Dia (‘Isa) adalah seorang yang meriwayatkan hadith-hadith munkar.
Akan tetapi Ibnu Hibban menyebutkannya di dalam kitabnya “at-Thiqat”. As-Saaji dan ‘Uqaili menyebutkannya dari kalangan perawi-perawi yang dhoif.
Ibnu ‘Adi berkata: “Hadith-hadithnya tidak terpelihara.[iv] Di dalam Mizanul I’tidal terdapat sebagaimana yang tersebut di atas cuma terdapat tambahan dari Imam Nasaie katanya: “Dia (‘Isa bin Jariah) meriwayatkan hadith-hadith munkar dan ada diriwayatkan juga dari Imam Nasaie bahawa dia berkata: “Dia seorang yang ditinggalkan riwayatnya”.[v]

Hadith ketiga yang merupakan sandaran yang paling kuat bagi golongan ulama` yang mengatakan bahawa Nabi s.a.w. melakukan tarawih sebanyak lapan rakaat adalah hadith yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah r.a. iaitu:

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَنَّهُ سَأَلَ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا كَيْفَ كَانَتْ صَلَاةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ فَقَالَتْ مَا كَانَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلَا فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي ثَلَاثًا فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَنَامُ قَبْلَ أَنْ تُوتِرَ قَالَ يَا عَائِشَةُ إِنَّ عَيْنَيَّ تَنَامَانِ وَلَا يَنَامُ قَلْبِي

Daripada Abu Salamah bahawa dia bertanya ‘Aisyah r.a. dengan berkata: “Bagaimanakah sembahyang Rasulullah s.a.w. pada bulan Ramadhan?” ‘Aisyah menjawab: “Rasulullah s.a.w. sama ada di bulan Ramadhan dan selain Ramadhan tidak melebihkan daripada sebelas rakaat. Dia bersembahyang sebanyak empat rakaat engkau jangan tanya tentang betapa cantik dan panjangnya. Kemudian dia bersembahyang sebanyak empat rakaat lagi, engkau jangan tanya tentang betapa cantik dan panjangnya. Kemudian dia bersembahyang sebanyak tiga rakaat lagi. Kemudian aku bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah engkau tidur sebelum engkau melakukan sembahyang witir?” Baginda s.a.w. menjawab: “Sesungguhnya dua mataku tidur tetapi hatiku tidak tidur”.[vi]


Ulama yang mengatakan rakaat tarawih adalah lapan menjadikan hadith ini sebagai asas dan juga sokongan kepada riwayat-riwayat dhoif yang disebutkan sebelum ini. Mereka mengatakan sembahyang yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. tersebut pada bulan selain Ramadhan adalah sembahyang malam yang dikenali sebagai tahajjud dan di bulan Ramadhan adalah sebagai qiyam Ramadhan yang dikenali sebagai sembahyang tarawih.



Akan tetapi ulama`-ulama` berselisih pendapat berkenaan hadith ini. Sebahagian ulama` mengatakan hadith tersebut berkenaan sembahyang tarawih dan sebahagian yang lain mengatakan berkenaan sembahyang malam selain dari tarawih.[vii] Oleh kerana itu ulama`-ulama` terutamanya ulama` yang terkenal sebagai ulama` feqah tidak menjadikan hadith ini sebagai sandaran kepada bilangan rakaat tarawih. Andaikata kesemua mereka memahami bahawa ianya berkaitan dengan sembahyang tarawih tentu sekali tidak akan timbul lagi perselisihan berkaitan rakaat tarawih.

Beberapa persoalan akan timbul bilamana hadith ‘Aisyah r.a. ini dianggap berkaitan dengan sembahyang tarawih. Antaranya:

Pertama: Kata-kata ‘Aisyah r.a.: “Di bulan Ramadhan dan bukan Ramadhan” dari segi zohir menunjukkan kepada suatu amalan yang tidak mempunyai perbezaan sama ada di bulan Ramadhan dan bukan Ramadhan serta tidak menunjukkan kepada tarawih tetapi lebih tepat menunjukkan kepada sembahyang malam yang dikenali sebagai tahajjud. Kecuali ada sesuatu bukti yang lain yang menunjukkan bahawa maksud ‘Aisyah r.a. adalah sembahyang malam di bulan selain Ramadhan dan tarawih di bulan Ramadhan. Tetapi ianya boleh dijawab dengan mengatakan bahawa maknanya “bukan Ramadhan adalah qiyamullail atau sembahyang malam dan di bulan Ramadhan adalah bermakna qiyam Ramadhan atau tarawih”.

Namun begitu ianya akan memberikan maksud bahawa sesiapa yang telah melakukan sembahyang tarawih sebanyak lapan rakaat selain witir maka ia tidak boleh lagi melakukan sembahyang yang lain pada malam itu kerana Nabi s.a.w. tidak melebihkan sama ada di bulan Ramadhan atau bukan Ramadhan daripada lapan rakaat selain witir. Tetapi bagi golongan yang mengatakan hadith ‘Aisyah tersebut bukan berkenaan tarawih maka tidak akan timbul sebarang masalah kepada mereka kerana yang tidak dilebihkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah sembahyang malam bukannya tarawih. Begitu juga galakan Nabi s.a.w. supaya memperbanyakkan amalan pada bulan Ramadhan tidak akan memberikan apa-apa makna kerana Nabi s.a.w. sendiri tidak melebihkan daripada sebelas rakaat sahaja pada satu-satu malam.


Namun begitu setengah ulama` mengatakan bahawa Nabi s.a.w. tidak melakukan sembahyang tarawih dan tahajjud secara berasingan di dalam bulan Ramadhan sebaliknya melakukan sembahyang tarawih sahaja bahkan memanjangkan tarawihnya (Baginda tidak melakukan tahajjud di bulan Ramadhan). Tiada sebarang perbezaan di antara tarawih dan tahajjud di zaman Nabi s.a.w. pada rakaat tetapi perbezaan hanyalah terdapat pada waktu dan sifat sahaja iaitu tarawih dilakukan secara berjemaah di masjid berlainan dengan tahajjud dan memulakan tarawih di permulaan malam tetapi tahajjud di akhir malam.[viii]
Bagi penulis hujah sedemikian akan menyempitkan lagi ruang ibadat dan menyebabkan umat Islam kerugian di dalam merebut kelebihan yang besar di bulan Ramadhan.


Kedua: Di dalam hadith tersebut ‘Aisyah r.a. menyebutkan:

يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي

“Dia (Nabi s.a.w.) bersembahyang sebanyak empat rakaat engkau jangan tanya tentang betapa cantik dan panjangnya. Kemudian dia bersembahyang sebanyak empat rakaat lagi, engkau jangan tanya tentang betapa cantik dan panjangnya”.

Dari segi zohirnya ia boleh memberikan makna empat rakaat dengan satu salam. Kerana itu setengah ulama` mengharuskan sembahyang malam empat rakaat dengan satu salam. Jadi, kalaulah yang dimaksudkan di dalam hadith ini adalah sembahyang malam atau tahajjud maka ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah tetapi kalaulah yang dimaksudkan di dalam hadith tersebut “bukan Ramadhan adalah qiyamullail dan di bulan Ramadhan adalah qiyam Ramadhan atau tarawih” bermakna tidak ada perbezaan antara keduanya daripada segi kaifiatnya, hanya berbeza dari segi nama sahaja kerana berbeza dari segi waktu dan bulan. Maka, apakah ada ulamak yang mengatakan sembahyang tarawih diharuskan empat rakaat dengan satu salam?